No comments yet

PERSIDANGAN WANITA DALAM SUKAN ASIA TENGGARA 2006

PERSIDANGAN WANITA DALAM SUKAN ASIA TENGGARA 2006

PERSIDANGAN “SEA Women In Sports – Paradigm Of Change” yang berlangsung di Hotel dan Pusat Persidangan Berjaya Times Square pada 21 hingga 22 September lalu bukan sahaja mendapat sambutan yang menggalakkan dengan jumlah penyertaan yang ramai, tetapi juga berjaya mengumpulkan beberapa tokoh terkemuka dalam sukan wanita dari seluruh dunia.

conference01

Seramai 331 peserta mengambil bahagian dan daripada jumlah itu, 309 adalah peserta tempatan dan 22 peserta lagi terdiri daripada wakil dari sembilan buah negara Asia Tenggara. Antara penceramah yang membentangkan kertas kerja di dalam persidangan yang julung kali diadakan itu ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Dr. Ramlan Abd. Aziz, Timbalan Ketua Pengarah MSN, Dato’ Zolkples Embong, Pengarah Bahagian Sukan Wanita, Dr. Shamala Subramaniam, Ketua Projek AsiaComm, Damien Kelly, Penasihat Bahagian Kejurulatihan Sukan, Syeikh Kamaruddin Sheikh Ahmad dan bekas atlet negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia, Zaiton Othman.

Manakala penceramah luar negara pula teridiri daripada Johanna A Vescio (Australia), Lydia La Riviere-Zijdel (Belanda), Faezah Hashemi (Iran), Dr. Nirmala Prasad (India), Hallam Pereira (Australia), Tricia Heberie (Australia) dan Dr. Darlene Kluka (Amerika Syarikat).

Persidangan itu dimulakan dengan pengenalan mengenai WSFFM dan Wanita Dalam Sukan oleh Dr. Shamala sebelum majlis dibuka dengan rasminya oleh Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Azalina Dato’ Seri Othman Said. Azalina di dalam ucapannya berkata, ibu memainkan peranan paling penting untuk menjadikan diri mereka sebagai idola kepada anak masing-masing. Katanya, wanita juga mempunyai kebolehan untuk mengubah sesuatu di dalam rutin kehidupan seharian masing-masing sekiranya mereka mempunyai keinginan yang tinggi. Azalina juga berkata, kita seharusnya merasa bertuah kerana Malaysia tidak pernah mengamalkan diskriminasi terhadap wanita terutama di dalam bidang sukan.

“Saya berharap persidangan ini menjadi detik permulaan bagi wanita memahami bahawa mereka perlu mengubah paradigma. Saya harap dapat lihat lebih ramai juara dunia di kalangan wanita seperti Nicol David dalam masa terdekat ini.”
– WSFFM

Post a comment